Sunday, November 15, 2009

Guru Zaman Dahulu

Sebelum Merdeka


Pemerintahan Jepun baru lima tahun berakhir. Tentera Jepun baharu sahaja meninggalkan Tanah Melayu. Penulis masih belum bersekolah dan tidak mampu mengingati apa yang berlaku ketika pemerintahan Jepun kerana penulis dilahirkan kurang daripada setahun sebelum tentera Jepun mengaku kalah.

Suatu peristiwa penting berlaku ketika itu. Rumah penulis bersebelahan dengan ibu pejabat Tentera Jepun di pekan itu. Sewaktu dilahirkan wujud suasana yang agak mencemaskan bila ketua Jepun di situ mahu mengambil penulis sebagai anak angkatnya. Nasib penulis baik kerana rayuan ibu bapa penulis telah menyebabkan hasrat tentera Jepun tersebut tidak menjadi kenyataan. kalau tidak, barangkali, sekarang ini penulis tentu sedang berada di negara Jepun dan menganut entah agama apa.

Bersekolah Dalam Pondok


Keadaan sekolah dalam tahun awal lima puluhan tidak seperti yang ada hari ini dan penulis akan mencuba untuk mengingatinya walaupun ia sudah lama berlalu untuk dimanfaatkan oleh pembaca. Keadaan sesetengah sekolah amat menyedihkan. Malah, terdapat juga sekolah yang didirikan dengan kayu bulat dari hutan dan beratap nipah serta tanpa berdinding. Lantainya pula tidak disiminkan. Kebanyakan meja dan kerusi merupakan bangku panjang serta mejanya mempunyai kaki yang ditanam ke dalam tanah; tidak boleh dialih-alih lagi. Sekolah di kampung ibu penulis cuma sebuah pondok besar yang boleh memuatkan dua kelas, beratap nipah dan bertiang kayu bulat. Seorang yang paling smart dan bergaya pun cuma menggunakan sebuah basikal 'Raleigh'.

Sekolah di pekan tempat kelahiran penulis pula tidak banyak bezanya daripada yang terdapat di kampung. Antara satu kelas dengan kelas yang lain hanya dipisahkan dengan dinding singkat, di mana kita boleh melihat kaki murid yang berada di kelas bersebelahan. Waktu hujan lebat tempias masuk ke dalam hingga ke bahagian tengah bangunan kerana bangunan tidak berdinding. Tanah (lantai) menjadi berair dan becak.

Walaupun beratap nipah, bangunannya panjang hingga boleh memuatkan tujuh atau lapan kelas. Sebab itulah ia sering dijadikan tempat pertunjukan "concert" atau pada waktu itu disebut sebagai pertunjukan sandiwara yang sering dipentaskan oleh guru-guru, pegawai-pegawai kerajaan dan belia. Kaum lelaki memegang watak wanita dalam sebarang pementasan kerana kaum wanita tidak turut melibatkan diri. Penulis juga pernah melihat Allahyarham Dato' Onn berucap dalam bangunan itu. Sambutan yang diberikan kepada beliau amat hebat walaupun ketika itu beliau merupakan musuh politik Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera.

Bangunan yang agak hebat sedikit pada waktu itu adalah juga bangunan kayu serta berlantai kayu. Cuma tiangnya sahaja merupakan tiang konkrit. Pintunya besar dan berat. Murid-murid dari kelas atas iaitu mereka yang berada dalam darjah VI atau darjah VII serta pejabat Guru Besar biasanya ditempatkan di situ.

Kebanyakan sekolah tidak mempunyai bilik guru. Bilik perpustakaan juga amat sukar dijumpai, apatah lagi bilik alatan bantu mengajar atau pusat sumber dan sebagainya. Murid-murid dan guru-guru zaman sekarang amat beruntung kerana dibekalkan dengan bermacam kemudahan; kerusi empuk dan sesetengahnya mempunyai bilik berhawa dingin.

Air Perigi dan Taman Sekolah


Air perigi menjadi sumber air minuman di kebanyakan sekolah. Penulis masih dapat merasakan bau air perigi yang diminum dari timba di perigi bila tekak terasa dahaga. Keadaan sekitar perigi yang becak menjadi kebiasaan. Sekolah tidak mempunyai kawasan bertar, tetapi kebanyakannya mempunyai taman yang cukup terjaga. Setiap pagi murid-murid berada di semua sudut taman menguruskan kebersihan, keceriaan dan kesuburan pokok-pokok dalam taman. Dengan cara itu taman sekolah menjadi milik bersama dan sentiasa dijaga rapi. Kelemahan orang sekarang terletak dalam aspek ini. Walaupun semua sekolah sekarang mempunyai tukang kebun dan tukang sapu, keadaan kebersihan dan keceriaan sekolah kurang terjaga. Ini kerana peranan tenaga murid-murid diabaikan. Jika ada pun sekolah yang dianggap cantik sekarang ini, ia terdiri daripada sekolah-sekolah yang tidak memperkecilkan peranan yang boleh dimainkan oleh murid-murid.

Setengah sekolah didirikan di tepi hutan atau berhampiran kebun getah. Ada juga yang dibina dipinggir sungai. Tidak ada jalan raya yang menghubungkannya dengan pekan. Guru-guru terpaksa menaiki bot atau "jeep" sapu untuk sampai ke sekolah. Tidak kurang juga yang terpaksa berjalan kaki dengan meredah hutan dan belukar. Kereta biasa tidak boleh digunakan kerana jalanraya yang terlalu teruk keadaannya. Allahyarham abang penulis memiliki salah sebuah jeep itu, dan penulis pernah memandu jeep tersebut ketika diminta membasuhnya. Satu peristiwa lucu yang tak dapat penulis lupakan ialah ketika penulis terlanggar pagar masjid. Bayangkanlah, penulis ketika itu baru berusia sekitar 12 tahun.

Adakalanya, beberapa ekor binatang liar seperti babi melintasi kawasan sekolah. Ini tidak mungkin berlaku lagi pada masa sekarang.

Kebun Sayur Sekolah


Sesuatu yang amat berkesan dan membanggakan berlaku ialah penglibatan para pelajar di kebun sayur sekolah. Murid-murid diberikan plot kebun di mana mereka boleh menanam sayur-sayuran. Setiap pagi mereka ke kebun sayur sekolah terlebih dahulu sebelum mengikuti pengajaran guru dan kadang-kadang mereka datang pada waktu petang untuk berkebun. Ini merupakan latihan pertanian yang tak ternilai di kalangan murid-murid. Orang sekarang menyebutnya sebagai Sains Pertanian. Malangnya, ia cuma hebat pada nama, kebun sains pertaniannya tidak menjadi.

PAKAIAN SEKOLAH

Selain dikehendaki berpakaian seluar pendek, mereka tidak dikenakan sebarang pakaian seragam khas. Cuma, murid-murid dikehendaki berpakaian bersih, itu sahaja. Bagaimanapun, amat sukar bagi kita untuk melihat murid yang berpakain baru. Ini barangkali sejajar dengan status ibu bapa mereka yang rata-rata berpendapatan rendah. Ramai daripada mereka merupakan anak-anak petani dan nelayan. Anak pegawai kerajaan merupakan sebilangan kecil daripada jumlah murid sekolah. Selain daripada menjadi nelayan atau petani mereka juga adalah penoreh getah dan menjalani kehidupan sebagai tukang rumah dan seumpamanya. Kilang-kilang di merata tempat seperti hari ini tidak pernah wujud.

Baju Berkanji


Baju dan seluar yang dipakai perlu dikanji dan digosok lendik. Ini merupakan suatu tugas sukar kerana pada masa itu tidak terdapat sterika elektrik seperti yang kita gunakan sekarang. Sterika yang digunakan ialah sterika arang; sejenis sterika di mana arang dibakar di dalamnya. Bila ia sudah cukup membara barulah boleh digunakan. Silap langkah, percikan bara api mungkin terjatuh ke baju, lalu baju hangus dan berlubang. Penulis ada mengalaminya sekali dua ketika menggosok baju.

Cara guru berpakain menjadi ikutan kami semua. Waktu itu artis dan bintang filem tidak berapa kuat pengaruhnya kerana kekurangan liputan media tentang mereka. Jadi, guru-gurulah "role model" kami semua. Kalau adapun yang lain hanyalah satu atau dua orang kerani di pejabat daerah atau mata-mata (konstable polis)yang bertugas di balai polis.

Bersanggul Dua


Guru perempuan selalunya bersanggul dua atau rambut berjalin dua. Tiada guru perempuan yang dapat dilihat memakai tudung atau jilbat. Ada juga guru yang memakai gaun. Bila bercerimin mata hitam, nampak macam bintang Hollywood. Guru lelaki pula, berseluar putih atau berwarna krim "shark skin" dan mana-mana yang segak sentasa berkasut putih "buck skin". Merekalah hero kami semua.

Barangkali eloh disebutkan tentang satu perkara yang amat penulis kagumi. Ia adalah mengenai pesta buah-buahan yang diadakan di sekolah dalam musim buah-buahan. Semua murid membawa buah-buahan seperti duku, langsat, manggis dan lain-lain. Guru-guru dan kami makan beramai-ramai dan ianya sungguh meriah. Buah manggis digubah bertangkai-tangkai dan kelihatan amat cantik. Penulis agak amat sukar bagi sekolah tahun sembilan puluhan untuk menganjurkan majlis seumpama itu kerana masyarakat zaman ini tidak seperti masyarakat lima puluhan.

Bagaimanapun, mata pelajaran Jawi amat ditekankan. Itulah sebabnya mereka yang berpendidikan zaman lima puluhan, walaupun belajar di sekolah Inggeris, amat mahir membaca dan menulis Jawi. kami menggunakan buku Hikayat Hang Tuah bertulisan Jawi sebagai buku teks bagi pelajaran Bacaan. Pada sebelah petang pula kami belajar agama di kelas-kelas agama. Jadi kami belajar pagi dan petang di bawah asuhan guru-guru dan guru-guru agama yang amat kami kagumi.

Dulu kami tidak belajar Sains macam sekarang. Kami belajar satu mata pelajaran yang dinamakan Ilmu Kejadian. Kami belajar tentang pembiakan katak, merekodkan sukatan hujan dan seumpamanya.

Apapun, penulis amat suka menegaskan di sini bahawa sebarang bentuk dadah tidak wujud di kalangan remaja ketika itu. apa yang ada cumalah kaum Cina yang tua-tua menghisap candu.

Jasa Guru


Penulis tidak akan melupakan sampai mati jasa bekas guru-guru penulis . Merekalah yang telah mengajar penulis sehingga menjadi pandai dalam pelbagai bidang. Merekalah yang mengajar penulis menulis dan membaca. Tanpa guru, penulis rasa, kita semua entah jadi apa.....Semua orang ada guru masing-masing. Malah Perdana Menteripun ada guru. Sebab itulah pantang bagi penulis untuk menderhaka kepada bekas guru penulis. Hari ini sebilangan daripada mereka barangkali telah tiada lagi,tetapi ingatan penulis kepada mereka tetap kekal. Setiap tahun, pada hari guru, penulis cuba menghayati perkara ini. Dalam ucapan kepada murid-murid pun penulis menyelitkan tentang perkara penting ini, kerana amalan menghormati guru-guru pada zaman ini agak luntur. Malah yang terpelajar dan berkelulusan tinggi pun sentiasa memandang rendah kepada kaum guru

"Ya! Allah, ampunilah segala dosa guru-guruku. Berikankanlah mereka rahmat kehidupan di dunia dan di akhirat. Aku amat terhutang budi kepada mereka semua........" Tidak terbalas rasanya jasa guru-guru kepada kita semua. Oleh itu wajarlah kita sanjungi dan hormati mereka, kerana, tanpa mereka siapalah kita. Penulis sendiri secara tidak disedari ramai telah cuba mempopularkan penggunaan singkatan "Cg." bagi perkataan "cikgu". Semoga ramai guru gemar menggunakan singkatan ini pada nama mereka sebagai menunjukkan tanda kebanggaan mereka sendiri berjawatan sebagai guru. Penulis bangga menjadi seorang guru. Jadi, penulis menggunakan "Cg." pada nama penulis. Sekarang ini penulis telah melontarkan idea ini ke internet. Ia kekal sampai akhir hayat, insya'Allah.

Penulis sendiri pernah mengajar di beberapa sekolah bersama bekas guru penulis. Anehnya, penulis tidak boleh menganggapkan mereka sebagai rakan sejawatan hinggakan penulis tidak boleh bergurau senda dengannya sebagaimana penulis lakukan kepada guru-guru lain kerana penulis terlalu menghormati bekas guru penulis itu."Terima kasih cikgu......."